Perlu Ke Pembantu Mengajar Untuk Cikgu Sekolah Menengah?


Perlu Ke Pembantu Mengajar Untuk Cikgu Sekolah Menengah?
Do Secondary School Teachers Really Need Teaching Assistants?

Para guru sekolah menengah di seluruh Malaysia sekalian,

Baru-baru ini, Jawatankuasa Kajian Dasar (JKD) telah membuka ruang untuk orang awam memberi cadangan. Teringin juga untuk saya mengemukakan beberapa cadangan, tetapi memandangkan saya seorang guru tanpa anugerah apa-apa dan hanya bergred DG41, mungkin cadangan saya akan diketawakan dan tidak dipeduli.

Jadi, demi menguatkan cadangan saya, maklum balas anda (para guru sekolah menengah seluruh Malaysia) untuk menjawab sebuah kajian selidik amatlah dihargai.

KAJI SELIDIK INI TIDAK MENGAMBIL MASA LEBIH DARI 5 MINIT.
Bolehlah isi sambil tunggu kopi/teh minum pagi ataupun waktu bersantai dalam t***. Pautan kajian selidik ini adalah :-

https://goo.gl/forms/WJOhJsJUdYuAoW7H2

Kalau boleh, luangkan sedikit masa untuk membaca ulasan saya tentang hal ini

Saya telah berkhidmat di sekolah menengah bandar & juga pedalaman di negeri Sarawak. Di kedua-dua situasi tersebut, didapati masih ramai lagi pelajar yang lemah dalam literasi asas, malahan ada juga yang buta huruf.

Pelajar-pelajar tersebut memerlukan bimbingan dan latihan literasi yang asas (pada tahap pra-sekolah/sekolah rendah) tetapi silibus di sekolah menengah memerlukan mereka untuk membaca teks pada tahap akademik yang tinggi bahkan perlu menulis esei KBAT.

Kesannya, ramai pelajar-pelajar ini akan terus ketinggalan, kebosanan, dan berputus asa. Mereka memerlukan perhatian dan tumpuan masa yang tidak mungkin dipenuhi oleh para guru. Maklumlah, bebanan tugas rasmi yang bermacam-macam diamanahkan kepada guru-guru di sekolah, terutamanya apabila sesebuah kelas mempunyai lebih daripada 30 orang pelajar dan para pentadbir menekankan kepentingan mengejar A+.

Pada saya, Pembantu Mengajar sangat perlu disediakan di sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia yang mempunyai pelajar yang lemah asas baca dan kira yakni pelajar-pelajar LINUS. Salah satu manfaat yang boleh diperolehi daripada Pembantu Mengajar ialah pelajar akan dapat diberi perhatian lebih dan mereka dapat dibimbing secara individu/kumpulan kecil. Dengan bimbingan tersebut, pelajar-pelajar yang lemah asas LINUS tersebut akan lebih diberi perhatian & motivasi belajar mereka akan meningkat.

Walaupun para guru telah dijanjikan "pembantu guru" pada tahun lepas, Amanat Menteri Pendidikan 2019 pada hari ini hanya menyentuh tentang "pembantu guru" pada perenggan 37 dalam konteks autonomi sekolah & penglibatan ibu bapa dan guru yang telah bersara.

Maksud kata, sekolah-sekolah perlu berusaha sendiri untuk mencari pembantu guru. Dengan beban tugas yang sedia ada, sukar untuk sekolah mencari "pembantu guru" ataupun pembantu mengajar yang boleh memberi komitmen sepanjang tahun kepada pelajar dan pihak sekolah.

Jika para pendidik di sekolah-sekolah menengah lain bersetuju dengan perlunya pembantu mengajar di sekolah menengah seperti mana cadangan saya, diharap dapatlah kalian meluang masa untuk menjawab soal selidik ini.

Bahkan jika ada cikgu-cikgu yang tidak setuju, saya juga mengalu-alukan kalian menjawab kaji selidik ini agar saya sedar bahawa pendapat saya ini tidak patut dikemukakan.

Soal selidik ini akan dibuka sampai Rabu, Januari 23, & hasil daripada kajian ini akan dikemukakan kepada JKD sebagai bukti bahawa pembantu mengajar sangat diperlukan di sekolah menengah dan perlu dimasukkan secara rasmi ke dalam agenda dasar pendidikan negara demi mengurangkan jurang yang wujud diantara para pelajar di sekolah menengah serta membasmi masalah pelajar LINUS.

Tolong kongsikan kaji selidik ini juga dengan kawan-kawan demi kebaikan pelajar-pelajar paling lemah kita.

Terima kasih.

Jarod Yong
JK kecil Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara

*Diedit oleh Cikgu Fadli #MFS



Popular posts from this blog

What To Do When Your Unifi Service Suddenly Drops

Understanding The New SPM (2021) English 1119 Paper Format

How To Fix Logitech Options Not Loading

A Review of Mosquito Coils In The Market

Exotic Fruit: Buah Isu